A BLOG SITE OF QISTINA ZAINI HAMZAH!

TENTANG AKU...

My photo
hate rules, love friends, love food!, Malay...

Sunday, September 02, 2007

Sejarah Tanah Melayu & Kemerdekaan Tanah Melayu


Pada 31 Ogos 1957, Tanah Melayu telah mencipta sejarah apabila Tunku Abdul Rahman (Perdana Menteri Pertama Malaya) mengisytiharkan kemerdekaan Malaya dengan tujuh teriakan "Merdeka"pada hari yang bersejarah itu.

Penjajahan Malaya bermula apabila pada tahun 1509, Diego Lopez de Sequiera dengan 18 buah kapal dari Angkatan diRaja Portugal tiba di Melaka. Oleh kerana orang-orang Portugis membuat kacau di Melaka seperti mengusik gadis-gadis dan mencuri, disamping perselisihan faham, Sultan Mahmud Shah kemudiannya mengarahkan supaya orang-orang Portugis dihalau dari Melaka. Angkatan Portugis diserang dan 20 anak kapalnya ditahan. Tetapi orang-orang portugis membalas dengan menyerang Melaka. Melaka gagal bertahan dan jatuh ketangan Portugis. Dari itulah bermulanya penjajahan di Tanah Melayu.


Selepas Portugis, Tanah Melayu dijajah pula oleh British. British menjajah Tanah Melayu bermula dengan campur tangan british dalam hal ehwal Tanah Melayu. Campur tangan British dalam hal ehwal negeri-negeri Melayu telah membawa kepada pemindahan kuasa pentadbiran daripada Raja-Raja Melayu kepada pegawai-pegawai yang dilantik oleh pihak British untuk mentadbir dan menguruskan semua aspek pentadbiran negeri-negeri Melayu kecuali pengurusan agama Islam dan juga adat resam orang-orang Melayu.

Campur tangan ini kemudiannya membawa kepada penjajahan sepenuhnya negeri-negeri Melayu di bawah penguasaan British. Peneyrahan kuasa ini dibuat secara rela oleh Raja-Raja Melayu dengan hanya mendapat janji-janji palsu dan pemberian pencen kecil yang diberikan oleh Kerajaan British.

8 Disember 1941 semasa Perang Dunia II. Penjajahan Jepun bermula walaupun merupakan satu turutan pertempuran yang singkat tetapi sengit dan merupakan satu detik perubahan antara pemerintahan daripada orang putih (British) kepada pemerintah Jepun. Ini merupakan konsep baru yang tidak pernah terlintas dalam pemikiran orang-orang Melayu umum, pemerintahan oleh bangsa lain selain daripada mereka yang berkulit putih, sebelum ini.


PARTI KOMUNIS MELAYA

Parti Komunis Malaya yang ditubuhkan pada 20 April 1930 telah bekerjasama dengan pihak British untuk menentang Jepun melalui Tentera Anti-Jepun Rakyat Tanah Melayu (MPAJA) berdasarkan perjanjian yang dibuat pada 8 Disember 1940.

Menerusi MPAJA, bantuan senjata, latihan, kewangan, bekalan lojistik dan perubatan telah diperolehi dari British. Dalam tempoh 3 tahun kekuatan tentera MPAJA dianggarkan sebanyak 7,000 anggota dan tidak hairanlah apabila darurat berlaku pihak British dan anggota pasukan keselamatan terpaksa berhadapan dengan kesukaran menghapuskan sekumpulan tentera yang telah dilatih untuk berperang.

Selepas Jepun menyerah kalah, Parti Komunis Malaya telah mengambil kesempatan untuk berkuasa menerusi gerila-gerila MPAJA. Beberapa siri keganasan dan rusuhan serta pergaduhan antara kaum telah berlaku di Tanah Melayu, terutamanya di bahagian selatan Tanah Melayu. Akibatnya, orang-orang Melayu mulai bertindak-balas terhadap kekejaman anggota komunis Bintang Tiga, seperti pasukan yang diketuai oleh Panglima Salleh Selempang Merah. Kembalinya British dengan pentadbiran tenteranya (BMA) dalam tempoh yang singkat menyebabkan komunis Bintang Tiga tidak berjaya mengembangkan pengaruh mereka. Akibat kegagalan komunis Bintang Tiga merampas Tanah Melayu dengan gerakan bersenjata, telah membawa kepada persetujuan pembubaran tentera MPAJA dan perletakan senjata api disamping pembayaran saguhati kepada gerila-gerila terbabit.

Bagi meraih simpati, mengindoktrinasi fahaman komunis dan mendapatkan sokongan orang-orang Melayu, pihak Parti Komunis Malaya telah mengasaskan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang diasaskan oleh Ahmad Boestamam berfahaman kebangsaan dan Mokhtaruddin Lasso (MPAJA) berfahaman komunis pada 17 Oktober 1945. Parti Komunis Malaya telah menguasai Parti Kebangsaan Melayu Malaya melalui tokoh-tokoh jawatankuasanya yang terdiri daripada Mokhtaruddin Lasso (Presiden), Arshad Ashaari (bendahari), Rashid Maidin, Abdullah C.D. Parti Kebangsaan Melayu Malaya lebih cenderung bagi Tanah Melayu menyertai Indonesia bagi mendapat kemerdekaan pada 1949.

Terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948 merupakan kekalahan kepada Parti Komunis Malaya kerana golongan ini telah diketepikan oleh British. Parti Komunis Malaya telah menukar strategi dan mula mencetuskan kegagasan melalui mogok dan rusuhan. Pihak British bertindak balas dengan mengharamkan pemimpin politik daripada mengetuai kesatuan pekerja, dengan itu melemahkan kedudukan komunis Bintang Tiga.

Pihak komunis Bintang Tiga kemudiannya mulai mengangkat senjata dan beberapa siri serangan dan serangan telah berlaku. Bagaimana pun, insiden pada 16 Jun 1948 iaitu pembunuhan tiga orang pengurus estet berbangsa Eropah di Sungai Siput, Perak telah membawa kepada pengistiharan darurat oleh Sir Edward Gent. Apabila keadaan bertambah teruk, pada 12 Julai 1948, darurat diistiharkan ke seluruh negara. Parti Komunis Malaya telah diharamkan pada 23 Julai 1948. Seluruh angkatan bersenjata telah digerakkan termasuk Senoi Praaq bagi menentang komunis.

Akibat kesukaran dan kekurangan sokongan dari masyarakat, pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng telah meminta perundingan diadakan pada tahun 1955. Rundingan Baling ini yang diadakan pada 28-29 Disember 1955 tidak membawa apa-apa keputusan drastik. Ini disebabkan kerajaan menawarkan pengampunan dengan syarat Parti Komunis Malaya dibubarkan, tetapi Chin Peng pula meminta Parti Komunis Malaya dibenarkan untuk bergerak sebagai sebuah parti politik. Pihak kerajaan yang telahpun mencapai kemajuan dalam membasmikan Parti Komunis Malaya, dan menimbangkan kekejaman Parti Komunis Malaya terhadap rakyat sebelumnya, menolak usul membenarkan Parti Komunis Malaya dibenarkan bergerak sebagai sebuah parti politik. Tunku kemudiannya menegaskan kepada rakyat bahawa Parti Komunis Malaya bertindak menentang kerajaan sah yang telah dipilih rakyat dan merdeka daripada penjajahan British.

Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 ketika darurat masih lagi berkuatkuasa. Pada 31 Julai 1960, darurat ditamatkan setelah ancaman komunis semakin berkurangan dan pengunduran mereka ke sempadan Tanah Melayu dan Thailand. Penempatan baru komunis di sempadan telah membolehkan mereka mengumpul dan memulihkan kekuatannya.

Selepas sekian lama dan atas kesedaran pucuk pimpinan Parti Komunis Malaya, maka pada 2 Disember 1989, Perjanjian Damai (Perjanjian Haadyai) telah ditandatangani di antara Parti Komunis Malaya dengan Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Thailand. Perjanjian bersejarah itu telah menamatkan perjuangan bersenjata Parti Komunis Malaya selama 41 tahun dan mengembalikan taat setianya kepada Yang DiPertuan Agung dan patuh kepada Perlembagaan dan undang-undang negara.

Tanah Melayu sekali lagi dijajah oleh British,Edward Gent Penolong Setiausaha Rendah Tetap bagi Tanah Jajahan British telah mengumumkan cadangan penubuhan Malayan union. buat pertama kali di Parlimen United Kingdom pada Januari 1944. Wilayah-wilayah Borneo juga dimasukkan dalam rancangan yang asal tetapi pemasukan itu kemudian dikeluarkan daripada cadangan yang terakhir kerana merumitkan cadangan Union yang sudah cukup susah. Pada musim bunga 1944, Pejabat Kolonial menjemput Sir Harold MacMichael, untuk pergi ke Tanah Melayu untuk mendapatkan tandatangan daripda raja-raja Melayu. Sir Harold Macmicheal bukanlah seorang yang arif tentang Tanah Melayu, beliau tidak pernah berkhidmat di Tanah Melayu. Tetapi kerajaan British yang kerap menerima maklumat salah mengenai Tanah Melayu dan orang Melayu percaya bahawa Sir MacMicheal pernah berkenalan baik dengan beberapa putera-putera dari Tanah Melayu. Pada 3 September 1945, ketika pihak British sedang menjalani pendudukan semula di Tanah Melayu, Kabinet British memberikan kebenaran untuk dasar Tanah Melayu yang baru dan bersetuju dengan misi MacMichael.

Memperoleh tandatangan daripada sultan-sultan tidak sebegitu susah seperti yang dijangka. Mac Michael telah bertindak memaksakan sultan-sultan Melayu untuk menerima cadangan-cadangan pihak British dan tidak memberikan masa untuk baginda-baginda berunding dengan majlis masing-masing, malah Sultan yang enggan menandatangani perjanjian tersebut diugut akan digantikan dengan sultan yang lain di atas tuduhan bekerjasama dengan Jepun semasa Perang Dunia II. Pada 21 Disember, setiap Sultan atau Pemangku Raja telah memeterai perjanjian yang baru dengan Sir Harold MacMicheal. Bagaimanapun, sebilangan daripada sultan-sultan itu menyatakan keraguan terhadap syarat-syarat perjanjian itu, tetapi disebabkan oleh ugutan yang mendakwa pe baginda-baginda sultan memainkan peranan semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu telah memaksa sultan-sultan itu untuk merelakan Malayan Union untuk menunjukkan kesetiaan mereka kepada pihak British dan mereka juga bimbang akan kehilangan tahta. Tanpa disedari oleh sultan-sultan ini ialah semua perjanjian terdahulu yang mengakui hak kedaulatan sultan-sultan Melayu dimansuhkan. Dengan itu, kepura-puraan pihak British bahawa mereka ingin membantu sultan-sultan Melayu untuk memerintah dihapuskan.

Setelah menerima perjanjian-perjanjian itu, pihak British mendedahkan rancangan Malayan Union dalam suatu Kertas Putih pada akhir bulan Januari 1946.

MALAYAN UNION

Rancangan Malayan Union yang akan melibatkan Negeri-Negeri Selat, tetapi tidak termasuk Singapura, akan terdiri daripada Majlis Perundangan dan Majlis Mesyuarat Kerajaan yang diketuai oleh seorang Gabenor British. Sultan-sultan Melayu masih akan mengekalkan kedudukan masing-masing tetapi dalam bidang kuasa yang sangat terhad, iaitu berkaitan tentang agama Islam dan adat Istiadat orang Melayu sahaja. Sebaliknya pihak British akan terus memerintah melalui sebuah majlis penasihat yang diluluskan oleh gabenor Malayan Union. Kerajaan Malayan Union akan mengambil alih semua aset negeri-negeri Melayu, kecuali aset yang berkaitan dengan agama Islam dan harta peribadi sultan-sultan. Di Pulau Pinang dan Melaka yang tidak mempunyai sultan, Pesuruhjaya Residen akan menjadi ketua pentadbiran. Beliau diberi banyak kuasa dan hanya bertanggungjawab kepada Gabenor. Ini sekaligus menunjukan kedaulatan British di Tanah Melayu. Di mana pihak British bertindak mengawal semua perkara mengenai Tanah Melayu. Dan mereka lebih berkuasa berbanding sebelum pendudukan Jepun.

Skim Malayan Union juga mencadangkan undang-undang baru yang memberikan kewarganegaraan kepada semua orang yang dilahirkan di Tanah Melayu dan Singapura, serta pendatang yang tinggal di sana selama sekurang-kurang 10 tahun daripada 15 tahun sebelum 15 Februari 1942. Semua warganegara Malayan Union yang baru itu akan mempunyai hak-hak yang sama, termasuk penerimaan masuk untuk perkhidmatan awam. Akhir sekali, kewarganegaran Tanah Melayu diberikan kepada semua tanpa diskriminasi ras dan kepercayaan atau pun turut dikenali sebagai 'jus soli'.

Gerak balas daripada kaum Melayu

Bertentangan dengan jangkaan British, penduduk Melayu, yang biasanya bersikap lemah lembut dan sering boleh di arah untuk melakukan itu dan ini telah bangun bersama-sama untuk membantah skim yang baru itu. Komuniti Cina dan India juga tidak ghairah dan telah mengkritik sesetengah peruntukan yang terdapat di dalam kertas putih Malayan Union. Pemimpin-pemimpin Melayu dan pesara-pesara British daripada Perkhidmatan Awam di Tanah Melayu telah mengetuai bidasan terhadap rancangan Malayan Union, dan membidas MacMichael kerana menggunakan 'ugutan' untuk memperolehi persetujuan daripada sultan-sultan Melayu. Pegawai-pegawai ini bertindak meLobi Tanah Melayu di Parlimen antara bekas pegawai-pegawai Perkhidmatan Awam Tanah Melayu yang mengambil bahagian adalah Frank Swettenham, George Maxwell, R. O. W. Winstedt, Cecil Clementi dan Laurence Guillemard. Mereka turut menulis surat-surat kepada akhbar nasional dan untuk merayu kepada Perdana Menteri United Kingdom agar menghentikan usaha menukar status Tanah Melayu daripada negeri naungan kepada tanah jajahan. Kegiatan seumpama ini mewujudkan tanggapan bahawa terdapat tentangan yang hebat terhadap Malayan Union bukan sahaja daripada penduduk Tanah Melayu malahan daripada pegawai dalaman British sendiri.

Sultan-sultan Tanah Melayu juga telah terpengaruh oleh perasaan anti Malayan Union yang dianjurkan oleh pegawai-pegawai Melayu dan rakyat Melayu. ini mengheret baginda sultan untuk membantah secara terbuka terhadap cara yang digunakan oleh MacMichael untuk memperoleh tandatangan baginda-baginda untuk perjanjian baru itu. Sultan-sultan tersebut menolak rancangan Malayan Union dan cadangan untuk menghantar sutu perwakilan ke London untuk memansuhkan rancangan itu telah disuarakan. Bagaimanapun, sudut pandangan orang Melayu disampaikan dengan lebih berkesan selepas penubuhan UMNO atau PEKEMBAR yang telah muncul untuk menyuarakan bantahan Melayu terhadap Malayan Union.

Pihak British sangat terperanjat dengan perubahan sikap masyarakat Melayu. Selepas pendudukan Jepun orang-orang Melayu telah sedar bahawa pihak British tidaklah sekuat yang di sangka, ditambah pula oleh semangat untuk merdeka yang bertiup kencang dari tanah seberang (indonesia). Di atas kesedaran inilah Orang-orang Melayu telah bangun bersama-sama untuk menentang cadangan pihak British. Tindakan yang kemas telah dilancarkan melalui UMNO. Negeri-negeri Melayu yang selama ini terpisah dan tidak bersatu telah bangun bersama-sama, malahan sultan-sultan negeri-negeri Melayu juga turut bersama-sama bergabung dengan rakyat Melayu untuk menentang Malayan Union. Satu perkara yang tidak pernah terjadi di Tanah Melayu sebelumnya.

Perjuangan orang-orang Melayu tidak terhenti setakat itu sahaja, orang Melayu turut mengadakan ceramah-ceramah umum di seluruh semenanjung untuk menyedarkan masyarakat Melayu di kampung-kampung. Selepas menerima tekanan yang begitu kuat, pihak British yang masih ingin meneruskan Malayan Union mencadangkan satu jawatankuasa dihantar untuk melihat reaksi masyarakat Melayu. Ahli jawatankuasa tersebut telah terkejut melihat reaksi yang amat kuat dari orang melayu untuk menghentikan Malayan Union. di mana sahaja mereka pergi pasti disambut dengan ribuan umat melayu dengan slogan-slogan anti Malayan Union. Malahan mereka dan Gabenor Malayan Union ketika itu turut bersimpati dengan orang-orang Melayu. Pada akhir lawatan tersebut, ahli jawatankuasa terbabit telah mengambarkan sesuatu yang positif di dalam ucapan mereka. Ramai orang melayu dan UMNO sendiri yakin bahawa Malayan Union akan berkubur.

Penubuhan UMNO

Pada 1 Mac 1946, sebuah Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu (Pan-Malayan Malay Congress) diadakan di di Kelab Sultan Suleiman, Kuala Lumpur. Disertai oleh kira-kira 200 orang wakil Melayu daripada 41 buah persatuan, kongres itu membincangkan pembentukan gerakan nasional Melayu, serta kempen terselaras untuk menentang Malayan Union. Sebuah jawatankuasa dilantik untuk mendraf perlembagaan untuk penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).


Pada 1 Mei 1946, Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu Ke-2 diadakan di Johor Bahru. Dalam kongres itu, pembentukan UMNO diisytiharkan dan Dato Onn Jaafar, Menteri Besar Johor, dipilih sebagai Presiden pertama. Kongres itu juga mengisytiharkan bahawa perjanjian-perjanjian MacMichael tidak sah dan mendesak bahawa Malayan Union dimansuhkan.

Pelaksanaan Malayan Union

Meskipun penentangan orang-orang Melayu begitu hebat, kerajaan British enggan menarik balik pelakasanaan rancangan Malayan Union. Sebaliknya, kerajaan British mendesak bahawa Malayan Union dilaksanakan dengan segera supaya Pentadbiran Tentera British yang memerintah Tanah Melayu sejak akhir Pendudukan Jepun dapat dibatalkan.

Malayan Union diisytiharkan pada 1 April 1946 dengan Edward Gent merupakan Gabernor yang pertama. Bagaimanapun, penentangan terhadap Malayan Union adalah sangat kuat sehingga rancangan itu tidak dapat dikuatkuasakan dengan sepenuhnya. Malah pada majlis perlantikan Edward Gent sebagai Gabernor yang pertama majlis tersebut telah dipulau oleh sultan-sultan Melayu. Ia adalah kesan daripada tindakan orang-orang Melayu yang telah berhimpun di luar rumah tumpangan yang didiami oleh sultan-sultan Melayu yang ingin menghadiri ucapara perlantikan tersebut. Ketika itu Orang-orang melayu telah bertindak berkabung dengan cara melilit kain putih pada songkok. Orang-orang Melayu yang berkumpul itu telah menghantar wakil mereka iaitu Dato' Onn Jaafar untuk berunding dengan sultan-sultan agar turut memulaukan upacara tersebut. Melihatkan sokongan rakyat yang begitu kuat mempertahankan tahta mereka, telah menyedarkan sekelian baginda sultan untuk turut berjuang bersama-sama rakyat jelata untuk menggagalkan Malayan Union. Akhirnya,Malayan Union dibatalkan pada 1 Februari 1948 selepas itu untuk mengantikan Malayan Union yang telah gagal itu pihak British terpaksa menurut kehendak masyarakat Melayu yang bertindak melalui UMNO untuk mengwujudkan Persekutuan Tanah Melayu . Penggantian konsep Persekutuan Tanah Melayu yang baru itu dengan skim Malayan Union yang tidak popular dicapai, melalui perundingan antara pihak British, sultan-sultan Melayu dan UMNO.

Pembentukan Persekutuan Tanah Melayu merupakan suatu kemenangan untuk orang-orang Melayu tetapi disambut dengan kecewa oleh beberapa golongan-golongandi dalam etnik yang lain. Bagaimanapun, mereka yang menentang cadangan Persekutuan tidak mempunyai sokongan di Tanah Melayu sendiri. Serta lobi Parlimen dan penyokong-penyokong di London yang telah membantu dalam pembatalan skim Malayan Union.

MERDEKA !!!!!!!

Pada tahun 1954, Tunku Abdul Rahman mengetuai sekumpulan perwakilan ke London untuk memperolehi kemerdekaan Malaya. Bagaimanapun, percubaan sulung itu tidak berjaya. Pada tahun yang berikut, pilihan raya persekutan yang pertama diadakan. Parti Perikatan yang pada saat itu merupakan parti campuran UMNO dengan MCA memenangi 51 daripada 52 kerusi yang ditandingi. Tunku dilantik sebagai Ketua Menteri Malaya yang pertama. MIC yang mewakili kaum India kemudian menyertai Parti Perikatan pada tahun 1955.

Pada tahun 1955, Tunku membuat lagi satu perjalanan ke London untuk berunding tentang kemerdekaan Malaya. Pada kali ini, beliau berjaya, dan 31 Ogos 1957 diputuskan sebagai tarikh kemerdekaan. Sewaktu bendera British diturun di Kuala Lumpur pada hari kemerdekaan, Tunku mengetuai orang ramai untuk menyorak "Merdeka!". Gambar-gambar Tunku dengan tangan yang diangkat naik, dan perakaman-perakaman suaranya yang penuh emosi tetapi berazam mengetuai sorakan, kini merupakan lambang kemerdekaan Malaysia yang biasa.


Upacara Pengisytiharan

Pada 31 Ogos 1957 bertempat di stadium yang baru dirasmikan iaitu Stadium Merdeka, Kuala Lumpur telah menyaksikan peristiwa bersejarah bagi Tanah Melayu iaitu secara rasminya penyerahan pemerintahan Persekutuan Tanah Melayu daripada pemerintahan British kepada warganegara Tanah Melayu.

Hujan lebat yang turun sejak 3 pagi menyukarkan pergerakan dan sehingga 6.30 pagi, stadium masih belum dipenuhi oleh pengunjung. Ini menyebabkan upacara telah ditangguhkan selama sejam dan pengumuman majlis bermula kedengaran bukan pada pukul tujuh seperti yang dijangka tetapi pada pukul lapan. 2,000 orang tentera Persekutuan menumpang di sekolah-sekolah berhampiran stadium sebelum itu berarak dalam hujan dan tujuh batalion yang membuat perarakan ketika itu iaitu Rejimen Persekutuan, Skuadron Isyarat, Skuadron Jurutera, Tentera Laut Diraja Tanah Melayu, Tentera Laut Simpanan Diraja Tanah Melayu dan Askar Sivil Persekutuan.

Pada pukul 8, para media telah diberi pengumuman untuk bersedia dan semua peralatan kamera dan media ketika itu dipasang dengan perlindungan plastik atau pelapik kalis air lain di sekitar padang yang lembap. Kebetulan, hujan reda yang memungkin segala persiapan sebelum upacara bermula dapat dijalankan dengan mudah. Pengunjung bertambah ramai untuk menyaksikan upacara bersejarah ini.

Antara kumpulan pengunjung yang tiba di stadium adalah Kadet, Pengakap Laut (dengan pakaian putih, topi putih dan seluar pendek berwarna biru), Pandu Puteri (berpakaian biru muda), Pengakap (dengan kain skaf, berwarna merah dan emas, merah dan hitam, merah dan biru, merah dan putih), Pasukan Briged St. John's Ambulance dan Palang Merah British turut mengambil tempat di sisi stadium manakala kumpulan pancaragam dan pengawal kehormat berada di susur terowong masuk.

Kemudian, tetamu-temamu kehormat mula tiba Lord Chancellor dari England berpakaian yang sama seperti ketika dia menjadi hakim Mahkamah Tinggi Persekutuan. Pemangku Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan merupakan Raja Melayu yang pertama berangkat tiba diikuti Tengku Mahkota Johor (dalam pakaian uniform tentera baginda) yang menggantikan Sultan Johor, Sultan Perak (berpakaian berwarna krim), Sultan Terengganu (berpakaian emas bersama merah gelap dan hijau), Sultan Kelantan (berpakaian emas pucat), Sultan Kedah (berpakaian biru dan perak) Raja Perlis (berpakaian emas), Sultan Pahang (berwarna merah senduduk dan dan perak) serta yang akhir sekali, baginda Yang di-Pertuan Agong yang berpakaian perang serta memakai keris yang baru. Setiap daripada baginda diiringi bunyi nafiri dan berdiri di bawah payung kuning keemasan sambil Yang di-Pertuan Agong berjalan ke tempat duduk baginda. Pengunjung stadium masih lagi berdiri apabila Duke of Gloucester masuk sambil diiringi Sir Donald MacGillivray. Dengan ketibaan semua tetamu diraja, upacara Pengisytiharan dimulakan.

Adikung Duke membawa peralatan perlembagaan yang menyatakan pengunduran daripada perlindungan British terhadap negeri-negeri Melayu dan kedaulatan terhadap Pulau Pinang dan Melaka. Raja-raja Melayu mula melangkah ke pentas dan Duke mengambil tempat di depan pentas sambil menerima hormat diraja sambil diiringi oleh Sir Donald MacGillivray. Ketika itu merupakan kali terakhir satu-satu upacara negara menyanyikan lagi kebangsaan British di Persekutuan Tanah Melayu. Kemudian, baginda Duke membacakan perutusan daripada baginda Ratu Elizabeth II akan pernyataan baginda yang mengalukan kemasukan Persekutuan ke dalam Komanwel dan mendoakan kejayaan negara ini.

Kemudian, Perdama Menteri Tunku Abdul Rahman bangun dari tempat duduknya dan menerima watikah perlembagaan sebagai lambang penyerahan kuasa pemerintahan sepenuhnya kepada Persekutuan Tanah Melayu. Duke mengambil tempat duduk dan Tunku mulakan ucapannya dalam bahasa Inggeris. Setelah Tunku mengucapkan penghargaan kepada Great Britain akan pertolongan untuk mencapai kemerdekaan, beliau mula membaca teks "Pengisytiharan Kemerdekaan".

Pengisytiharan itu disambut dengan laungan "MERDEKA" 7 kali sebagai Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang pertama di hadapan 20 ribu rakyat Persekutuan Tanah Melayu dan Raja-rajanya serta perwakilan dari 30 negara-negara Komanwel dan negara-negara asing lainnya. Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dinaikkan dengan iringan Lagu Kebangsaan Negaraku yang buat pertama kalinya diperdengarkan secara rasmi dalam sebuah negara baru. Diikuti pula selepas itu dengan seruan azan sebagai simbolik lahirnya sebuah negara yang baru dan tembakan meriam seratus satu das.

Dengan bunyi nobat nafiri, Yang di-Pertuan Agong diiringi oleh Duke of Gloucester, berangkat pergi dari pentas diikiuti oleh pemerintah Melayu yang lain, Perdana Menteri dan Sir Donald MacGillivray. Kemudian, Doa Selamat dibacakan bagi memohon keberkatan dan keredhaan Allah terhadap sebuah negara yang baru dilahirkan

Dengan pengisytiharan itu, maka berakhirlah penjajahan Inggeris dan kuasa Baginda Ratu ke atas Persekutuan Tanah Melayu termasuk Pulau Pinang dan Melaka iaitu sejak lebih 170 tahun. Pada hari itu juga Pesuruhjaya Tinggi British terakhir di Persekutuan Tanah Melayu, Sir Donald MacGillivray dan isterinya telah meninggalkan negara ini dan pulang ke England.



NEGARAKU!


Buat kali terakhir GOD SAVE THE QUEEN dimainkan...


MALAYSIAKU GEMILANG!

4 comments:

Anonymous said...

Dik, bagus betul kandungan blog adik, tapinya.. susahnya org mcm saya nak baca.. boleh tolong pilih theme lain yang lebih sedap mata memandang. Striking red on green?
Boleh tukar?

Tima kasih

Anonymous said...

Bantahan Pembohongan Fakta Sejarah Dalam Sambutan 50 Tahun Kemerdekaan

Posted by Admin on September 5th, 2007

Kenyataan Media Oleh Salahuddin Ayub

Dewan Pemuda PAS Pusat memandang serius propaganda dan kegiatan ’jenayah akademik’ dan pembohongan fakta sejarah tanah air yang dilakukan oleh pihak kerajaan dan mengadakan sambutan 50 Tahun Kemerdekaan Negara pada tahun ini. Yang lebih jelas, propaganda-propaganda ini lebih bersifat untuk mengelirukan rakyat menjelang Pilihanraya Umum ke-12 yang dijangka akan berlangsung pada tahun ini. Kami amat kesal kerana Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa) selaku hos sambutan ternyata telah menafikan fakta-fakta kemerdekaan, sebaliknya cuba mengangkat parti pemerintah sebagai pejuang kemerdekaan yang sebenar.

Sorotan perjuangan ulama dan kemerdekaan

Samada kita sedari atau tidak, denai sejarah telah merakamkan perjuangan suci para ulama membentengi aqidah umat Islam semenjak Negara kita menerima pengaruh Islam pada abad ke-13. Ulama kita yang berkubu di Pusat-pusat Pengajian Islam telah memancar kekuatan kepada umat Islam bagi berhadapan dengan kuasa penjajah dan serangan pemikiran ‘ghazwatul fikri’ mereka. Dalam cerminan sejarah ini, tersuluh kehebatan ulama seperti Adipati Yunus di Melaka berjihad menentang Portugis, Tuan Guru Haji Hassan bin Munas ( Tok Janggut ) yang bangkit bermandi darah di Pasir Puteh, Kelantan pada tahun 1915. Di Terengganu pula, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong, Tuan Guru Haji Musa Minangkabau telah memimpin kebangkitan ummah, menentang kemaraan penjajah British yang cuba memijak kemuliaan Syariat Islam. Penjajah Siam yang telah menyerang negeri Melayu Utara juga menghadapi tentangan sengit daripada alim ulama seperti Sheikh Abdul Samad al Palembani.

Sumbangan Gerakan Islam terhadap proses kemerdekaan negara

Kehadiran gerakan Islam di tengah-tengah percaturan politik orang Melayu selepas perang Dunia Pertama dan Kedua yang dimonopoli oleh PKMM dan Umno telah menimbulkan keresahan kepada pihak yang bekerjasama dengan British. Pengalaman British dengan umat Islam Othmaniyyah Turki (1914-1918), Mekah (1910-1915) dan Palestin (1924-1948) telah meletakkan British begitu anti dengan gerakan Islam. Kerana itu, parti yang menjadi agen British mesti mengekang kebangkitan gerakan Islam dengan apa cara sekalipun. Umno yang ditubuhkan oleh golongan feudal Melayu berpendidikan Inggeris memperlihatkan realiti ini.

Kemunculan Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA) pada 24 Mac 1947 telah menyebabkan Umno mulai memberikan perhatian kepada hal ehwal agama, pendidikan Islam dan usaha-usaha mempengaruhi para ulama supaya menyokong mereka. Tindakan Umno mewujudkan Derma Pelajaran Tinggi sebaik sahaja MATA mewujudkan LEPIR dan Derma Pelajaran MATA pada Julai 1947 membuktikan kebimbangan ini bertali arus semenjak Dato Onn menuduh MATA sebagai “bahaya dari gunung”.

Sebaik sahaja Sidang Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA) pada 14 Mac 1948 selesai dan hasrat menubuhkan sebuah parti Islam di Tanah Melayu berjaya dengan penubuhan Hizbul Muslimin (HM), maka pemimpin gerakan Islam itu mulai mengatur langkah untuk memerdekakan Tanah Melayu, membentuk masyarakat Islam dan mewujudkan Tanah Melayu sebagai Darul Islam. Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, Ketua Umum Hizbul Muslimin bersama jawatankuasanya telah berusaha melebarkan pengaruh Hizbul Muslimin ke seluruh tanah air dan memberikan imej baru kepada Islam sebagai cara hidup masyarakat.

Kehadiran gerakan Islam semenjak 1947 sehingga merdeka, selama satu dekad tetapi penuh dengan warna perjuangan. Umno yang ditubuh oleh anak didik British dan diiktiraf oleh British sebagai parti yang diberi peluang untuk memperjuangkan kemerdekaan terpaksa membelakangkan banyak kepentingan Islam demi menjaga hubungan dengan British. Umno bukan sahaja menabur fitnah, tetapi turut berusaha menyaingi gerakan Islam walaupun membiarkan umat Islam sedunia terus ditindas oleh British. Ternyata kehadiran MATA (1947), Hizbul Muslimin (1948) dan PAS (1951) merupakan ancaman yang besar kepada gerakan kebangsaan Umno.

Pada era 1900-1940 boleh dikatakan gerakan Islam adalah merupakan gerakan utama yang mencetuskan idea kemerdekaan, penentangan terhadap penjajah dan pendaulatan semula cara hidup Islam. Walaupun mereka tidak berjaya menguasai tampuk politik tanah air, tetapi peranan yang besar di sumbangkan oleh mereka telah memungkin umat Islam bangkit untuk menuntut kemerdekaan dan mendesak masyarakat supaya meletakkan Islam di tempat yang sewajarnya. Perjuangan mereka melalui media massa, pendidikan, oraganisasi separa politik dan penentangan fizikal telah diterjemahkan semula dalam versi baru oleh Hizbul Muslimin (1948) dan Persatuan Islam SeMalaya (1951) sebagai sebuah gerakan politik Islam yang bercita-cita mendaulatkan Islam sebagai cara hidup masyarakat negara ini.

Peranan Institusi pendidikan dan tokoh-tokoh negarawan dalam memacu kemerdekaan negara

Menurut YTM Dr Raja Nazrin, Raja Muda Perak di dalam titah baginda di Muzakarah Ulama’ pada 5 Julai 2007, “Maahad al Ehya as Shariff, Madrasah Diniah Padang Rengas, Madrasah al Idrisiah di Kuala Kangsar,The Malay College Kuala Kangsar dan Sultan Idris Training College merupakan tapak-tapak awal yang dinyalakan semangat kesedaran bangsa. Antara tokoh-tokoh yang terlibat aktif menyalakan semangat kesedaran bangsa adalah Dr Burhanuddin al Helmy, Ustaz Abu Bakar al-Bakir, Ustaz Baharuddin Abdul Latif, Dr Zulkifli Muhammad, Syeikh Junid Tola dan Syeikh Mohamad Tahir Jalaluddin.”

Berdasarkan latar belakang sejarah ulama dan kemerdekaan yang telah diutarakan, dengan ini Dewan Pemuda PAS Pusat berpendirian tegas bahawa;

1. Penyelewengan fakta sejarah adalah suatu bentuk kezaliman dan ketidakadilan yang nyata. Justeru, kami menentang sekeras-kerasnya pembohongan ini dan tidak sama sekali meredhai ia terus berlaku. Kami akan terus memperjuangkan tokoh-tokoh kemerdekaan yang dilenyapkan namanya dalam catatan-catatan sejarah yang ada sehingga ke hari ini lantaran kepentingan politik murahan pihak pemerintah tanpa menghiraukan kebenaran dan ketelusan fakta-fakta yang diketengahkan.

2. Sambutan Kemerdekaan Negara pada 31 Ogos 2007 merupakan pengkhianatan terbesar sepanjang rekod sambutan ulang tahun kemerdekaan. Ini kerana sambutan pada malam 31 Ogos 2007 yang lalu telah disaratkan dengan propaganda rekaan Barisan Nasional khususnya demi kepentingan pilihanraya ke-12 yang dijangkakan belaku dalam jangka masa terdekat ini.

3. Sambutan Kemerdekaan Negara pada malam 31 Ogos 2007 merupakan penyelewengan dan salah guna kuasa yang terbesar dalam sejarah negara. Ini kerana seluruh jentera kerajaan digunakan bagi meraikan sambutan perayaan parti kerajaan UMNO dan Barisan Nasional semata-mata. Apa kaitannya sambutan kemerdekaan yang melibatkan seluruh jentera kerajaan dengan parti komponen UMNO dan Barisan Nasional? Adakah rakyat dipaksa untuk menyokong parti kerajaan Barisan Nasional dan mereka tidak ada hak menyatakan pendirian mereka. Bukankah ini sebuah negara demokrasi?

4. Kami amat mengesali kerana Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa) selaku hos Sambutan Kemerdekaan Negara kerana gagal mengendalikan sambutan kemerdekaan pada tahun ini di atas paksi kebenaran dan keadilan sejarah bahkan ternyata telah menafikan fakta-fakta kemerdekaan, sebaliknya cuba mengangkat parti pemerintah semata-mata sebagai pejuang kemerdekaan yang sebenar.

5. Jasa dan sumbangan yang telah dicurahkan golongan ulama demi perjuangan menuntut kemerdekaan tanah air dari kuasa cengkaman penjajah perlu dihargai. Pengorbanan darah dan air mata golongan ulama ini perlulah diberikan hak yang sewajarnya dalam penulisan-penulisan akademik mahupun catatan-catatan ilmiah agar generasi masa hadapan dapat mengetahui dan menghayati perjuangan dan sumbangan mereka terhadap kemerdekaan negara.

Dengan ini kami menuntut dan mendesak agar:-

1. Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa) selaku hos sambutan memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia secara terbuka melalui media cetak, media bertulis mahupun pengisytiharan dikhalayak umum terhadap pembohongan terhadap fakta-fakta sejarah yang telah dibuat.

2. Kami mendesak pihak kerajaan untuk berlaku adil dalam membentangkan fakta sejarah. Semua pihak yang terlibat dalam perjuangan menuntut kemerdekaan mesti diraikan samada mereka dari golongan parti yang memerintah ataupun tidak. Sepatutnya sambutan 31 Ogos 2007 yang lalu semua pihak dijemput dan diraikan bagi membuktikan keikhlasan kerajaan.

3. Kami menuntut agar kerajaan membetulkan fakta sejarah yang telah diselewengkan, termasuk di dalam buku-buku sejarah Malaysia. Nama-nama penting yang turut berjuang menuntut kemerdekaan seperti Dr Burhanuddin Al Helmy, Prof Zulkifli Muhammad, Pak Boestamam, Ustaz Abu Bakar Al Baqir dan lain-lain lagi langsung dipadamkan dalam rekod sejarah sedangkan mereka juga adalah penyumbang utama menuntut kemerdekaan sehingga ada yang dibunuh, dibuang negeri, dipenjarakan dan lain-lain lagi.

4. Mengadakan dialog, forum, wacanan ilmiah, intelektual dan serta diskusi secara terbuka tentang isu kemerdekaan negara. Kami mencabar pihak kerajaan untuk mengadakan program-program wacana kemerdekaan secara terbuka dengan menjemput semua pihak samada pihak kerajaan mahupun pihak pembangkang. Dengan ini barulah kebenaran dan keadilan dapat ditegakkan.

Akhirnya, berdasarkan fakta-fakta dan tuntutan yang telah diketengahkan diatas, kami mendesak agar kerajaan lebih bersikap objektif dan seharusnya bersikap telus serta adil terhadap sejarah tanah air tercinta ini. Pembohongan yang telah dilakukan membuktikan suatu penafian terhadap perjuangan para pejuang tanah air ini yang telah bertungkus lumus mengorbankan diri dan tenaga mereka demi pembebasan dan kemerdekaan negara daripada cengkaman penjajah. Sikap ‘mempolitikkan’ sejarah dengan propaganda palsu telah menyebabkan rakyat tidak lagi menghargai nilai sebuah kemerdekaan.

Sekian desakan dan tuntutan kami.

Yang benar,

YB. SALAHUDDIN AYUB
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

Anonymous said...

03/09: Kemerdekaan milik rakyat, bukan milik PM, elitis dan kroni


Kemerdekaan, kadang kala seakan milik orang yang berkuasa, parti yang berkuasa. Ia bukan lagi milik seluruh warga rakyat. Kemerdekaan adalah penjajahan baru. Bernama kongkongan. Satu pihak bebas mengongkong pihak yang lain – itukah kemerdekaan?

Anda masih remaja – mungkin anda adalah lebih merdeka.

Anda memasuki universiti – aktivisma mahasiswa segera dibalut oleh sebuah Akta – namanya Akta Universiti – dan berdiri di situ ‘Gabenor’ Umno-BN untuk memastikan cengkaman itu terasa. Lihatlah pilihan raya kampus yang penuh jenaka. Gabenor ini miangnya lebih dari Gabenor British yang kita halau dulu.

Kebebasan akademik? ‘Gabenor-gabenor’ 'penjajah' sangat berbau politik kepartaian sifatnya bertaburan di mana-mana kampus. Mereka dilantik atas pertimbangan politik – untuk berkhidmat kepada sebuah autoriti politik sebagai ukuran paling utama. Lantas, di mana kemerdekaan para ahli akademik kita? Melainkan kongkongan. Tanpa kemerdekaan, kita akan cemerlang?

Anda melangkah keluar ke alam kerjaya – Aku Janji sedang menunggu anda. OSA memenjarakan anda. Sepanjang hayat anda. Anda dikongkong.

Anda rakyat biasa yang hauskan kemerdekaan maklumat? Anda adalah anak jajahan media arus perdana. Anda cuba merobek tirai manipulasi berita? Anda cuba mencuri untuk mengecap kemerdekaan dari perhambaan media seperti itu lewat internet, blogs dan web berita? Geger! Anda kurang patriotik kerana berkawan dengan ‘monyet-monyet’. Anda dikongkong.

Jerkah, ugutan dan jangan lupa ISA yang setia menunggu. Itu semua alat sebuah kemerdekaan?

MTUC pun diugut untuk ditutup. Merdeka….

ISA hanya sebuah pisau yang boleh digunakan oleh ‘tuannya’ untuk menghiris orang lain. ‘Dua ditangkap kerana SMS perkauman.’ Bagaimana dengan orang yang menghunus keris sebegitu panjang dengan laungan perkauman? Tidak, ia berlindung di balik kuasa.

Ekonomi - jaring penjajahan yang lebih mencengkam. Bila anda berada dalam baris elit kuasa, anda bebas ‘merompak’ atas apa sahaja nama.

Ingat – ketika anda melewati lebuhraya utama dan singgah di plaza tol, ia sebuah kemajuan atau sebuah rompakan kecil kemerdekaan anda? Elitis yang kecil mendapat sebuah lesen, dan untuk tahun ini PLUS telah mengumumkan ia meraih lebih setengah billion (RM 583 juta) keuntungan untuk separuh tahun 2007 - tetapi kadar tolnya mesti naik saban masa. Aku tidak herankan kos yang aku harus biayai untuk sebuah kemudahan tetapi keuntungan besar atas sebuah keperitan adalah mencabut kemerdekaan ku….

Anda elitis kuasa, anda bebas dan merdeka. Port Klang Free Zone – tanah kerajaan dijual kepada – ahhh – engkau pun tau siapa, jika tidak apa yang dipanggil kroni - di jual balik kepada kerajaan – dan orang yang amat kecil bilangannya ini, amat kecil sehingga boleh dihitung dengan jari tangan tak perlu masuk jari kaki – ketawa riang dengan keuntungan satu ribu lapan ratus juta tolak kos beli, sembilan puluh lima juta. Keuntungan bersamaan lebih satu perpuluhan tujuh ribu juta!

Dan anak bangsaku yang masih merempat sesak, semua kaum, kita heret zaman berganti zaman menghiasai kemerdekaan kita.

Kemerdekaan ku di mana? Di mana odit atas akaun PKFZ sebelum kerajaan bail out? Di mana pembentangan dan kelulusan Parlimen? Di mana ketelusan, di mana kewajaran?

Bukankah ketelusan itu adalah ciri utama sebuah masyarakat merdeka? Jika tidak, kekayaan Negara hanya akan dikaut oleh orang hitam sebagai ganti orang putih bangsa penjajah yang telah kita halau dulu. Itukah yang engkau mau dari sebuah kemerdekaan?

Anda sebut Parlimen? Lambang sebuah demokrasi?

Sepuluh tahun sekali parti yang berkuasa boleh mengatur kekuatannya melalui proses ‘sempadan’ semula. Ah, kemerdekaan itu adalah kebebasan mengatur untuk parti berkuasa…

Dan pilihan raya? Pilihan raya yang bebas? Jika pilihan raya kampus yang tidak akan mengubah apa-apa kuasa Negara, kaki dan tangan mahasiswa diikat, adakah mungkin pilihan raya yang boleh menukar tampuk kuasa, anda mengharapkan ia bebas – dari politik wang – anda sendiri tau, dari kongkongan media, anda sedia arif, dari penipuan?

Undi Myanmmar dan orang Thai kadang kadang boleh mengalahkan suara anda Anak Malaysia. Oh, kemerdekaan ku….

Anda belum menghitung penjajahan janji-janji. Maksud saya, ada lagi rakyat Malaysia rebah dengan janji pilihan raya lima tahun sekali. Setiap lima tahun, mereka memperbaharui penjajahan……

Dan kini, cendawan koridor berhamburan. Koridor sana, koridor sini. Feel good factor, kawan…

Modus operandi penjajahan baru ini ialah ekonomi. Tanpa tender, aneka projek diagihkan. Kini, kepada pemimpin pemuda mereka. Dijual segera bila projek diperolehi. Kos projek melambung-lambung. Wang negara mengalir bagai air. Untung segera. Keuntungan digunakan pula untuk membeli undi dalam parti dan dalam pilihanraya.

Pemilihan parti akan diadakan selepas pilihan raya. Kuasa digunakan untuk memberikan projek untuk mengumpulkan sokongan. Sokongan membawa kepada kuasa. Kuasa kepada kekayaan.

Wang memberikan kuasa. Kuasa memberikan wang.

Bagi massa generasi baru, basuh otak mereka di PLKN. Mana-mana yang telah terlekat jalur 'Umno' di jiwa mereka, boleh menyertai skuad elit kuasa, boleh berkongsi kekayaan juga kuasa, atas harga yang terpaksa dibayar oleh negara.

Pada hakikatnya, kita semua adalah hamba mereka. Kemerdekaan kita telah disamun.

Anda bukan anggota parti kerajaan – anda kurang patriotik Anda dari baka bukan pejuang kemerdekaan.

Bapa beli bas dijual oleh anak (Scomi - RapidPenang). Patriotik?

Abang lancar nasi kandar adik di luar Negara. Patriotik?

Promosi Kebaya mengingati al marhumah isteri di luar Negara. Patriotik?

Aku penjual nasi dagang, nasi berlauk, keropok dan pedagang batik, promosi luar Negara tidak mungkin menjengok kerana aku adalah rakyat biasa pengundi setiamu… Sekalipun aku adalah rakyat teramai, tetapi adik, isteri dan anak juga diingat orang.

Terengganu merdeka seiring dengan royalti minyak yang lumayan. 16 peratus rakyatnya di bawah paras kemiskinan dan 54 peratus rakyatnya berpendapatan bawah RM 1,500 dan anda katakan ini kemerdekaan?

Mentaliti terjajah atau mentaliti penjajah?

Apa jadi pada peta Semenanjungku? Semakin mengecil dengan peluasan wilayah Singapura lewat pemilikan tanah dan penempatan penduduk di WPI. Bakal menjadi 3 juta orang warga Singapura akan menetap di WPI, unjuran Tun Dr. Mahathir.

Itu peluasan wilayah namanya. Apa perlunya Jawatankuasa Bersama Kabinet dengan Singapura untuk WPI? Kekuatan strategik mereka akan ditekankan ke atas Negara kita dan menerusi apa yang digelar pembangunan, kita kehilangan kedudukan yang akan memberikan kesan politik yang tak berkesudahan.

Jika dengan semangat merdeka kita pernah satu masa menguasai semula gergasi perniagaan dan perladangan yang dimiliki orang putih, kenapa pula kini kita perlu menjual wilayah kita?

Kemerdekaan kita telah dihijack. Malang.

Pemandu teksi, dipenjara oleh palang kronisme yang lain pula. Mereka harus bekerja kuat untuk taukeh-taukeh yang goyang kaki. Taukeh ini memiliki permit-permit yang memberikan keuntungan percuma sebegitu lumayan. Itu bukan pemerasan namanya? Pemerasan bukan penjajahan?

Belum diambil kira AP, klon atau bukan klon. Monopoli itu, monopoli ini. Ah…, jaringan ‘penjajahan’ oleh anak bangsaku sendiri?

Anda belum memeriksa sudut akhlak dan moral. 1.5 juta (atau lebih) generasi merdeka ‘lintuk.’ Mereka dijajah oleh dadah dan tak berupaya bangkit. HIV datang tak diundang tetapi jika dibiarkan, bangsa boleh pupus.

Apa agenda untuk anak bangsa Malaysia ku ini? Sure Heboh dan Jom Heboh? Kampung Hadhari?

Biarkan mereka rebah di persada noda? Menjelang 2020, mereka makin biak – dijangka 3.5 juta. Mereka merdeka dalam khayal yang panjang tetapi, ah, mereka mangsa kemerdekaan tanpa agenda yang ada pedoman? Mereka telah rebah dijajah tetapi apa pemerentah telah lakukan untuk memberikan semula ruh kehidupan?

Dan anda teringatkan keselamatan kita semua?

Pengganas komunis telah diganti dengan pengganas baru. Fenomena jenayah seakan sinonim dengan kemerdekaan kita kebelakangan ini. Ia bukan lagi berlindung di hutan belantara tetapi ada di mana- mana di tengah kehidupan kita. Dari Perlis sampai ke Sabah, mangsa boleh ada di mana saja.

Anda katakan kemerdekaan itu keamanan. Dan kesejahteraan. Kenapa ada ketakutan? Bimbang mencengkam kehidupan.

Di mana polis?

Polis harus menjaga polis? Kata-kata yang mungkin keterlaluan. Tetapi jika barah yang melanda kita semua tidak diubati, tren polis menjaga polis dari melakukan jenayah, akan berkembang. Altantuya – ya – polis, nama polis disebut. Disebut di sana sini. Bekas Ketua Polis menyebut tentang pagar makan padi.

Benar, seekor kerbau membawa lumpur, membawa nama polis, BPR atau apa sahaja ‘pagar-pagar’ kita, disebut orang dengan nama kurang enak. Jika dibiarkan, kerbau-kerbau berlumpur ini akan membiak dan kita akhirnya hilang satu cebis lagi kemerdekaan kita.

Anda bertanyakan tentang kedaulatan undang-undang, tentang kehakiman, tentang prinsip yang jahat tetap menerima pembalasan bukan pelepasan. Anda berbisik, mahkamah kita pentas jenaka. Hakim kita?

Anda rakyat yang merdeka. Anda ukur. Andakah yang merdeka atau orang yang berkuasakah yang merdeka?

Padahal asalnya, kemerdekaan milik kita semua.

Salam kemerdekaan....

(Dato' Husam Musa adalah Naib Presiden PAS)

Anonymous said...

Salam...
Tahniah abang ucapkan diatas usaha adik menghasilkan blog ini. Cuma ada seperkara yang abang ingin tekankan di sini. Memandangkan adik masih muda, memang tidak ada salahnya adik menulis tentang sejarah tanah air kita. Apa yang adik tulis adalah benar tetapi sekadar mengikut apa yang telah disampaikan kepada adik dan apa yang telah adik pelajari di sekolah. Jika adik benar-benar menyintai tanah air ini, abang nasihatkan adik agar buatlah sedikit research yang lebih mendalam mengenai sejarah tanah air kita. Sebenarnya banyak sejarah sebenar yang telah disembunyikan. Kalau adik benar-benar prihatin, pasti adik akan menjumpainya. Cuba lah gunakan sumber-sumber rujukan yang lain daripada yang dipelajari di sekolah. Bukanlah niat abang ingin menghasut...tetapi inilah kebenarannya. Kalau adik benar-benar ingin mencari kebenaran...sahut lah cabaran abang ini. Mungkin adik tak tahu hendak mula dari mana betul tak? Tak per abang bagi adik 'hint'. Cuba dapatkan maklumat sejarah tanah melayu (Malaya) bermula pada kejatuhan Islam Zaman Uthmaniah 1924 sehingga merdeka 1957. Kemudian cuba kaji keadaan penghidupan rakyat sebelum dan selepas dijajah. Ok itu sahaja hint yang abang dapat berikan. Ingat pesan abang ni...sila gunakan sumber rujukan yang lain. Cuba cari buku-buku sejarah yang lama-lama...jangan gunakan buku sejarah yang sekarang ini.